Category Archives: Diari

Imbasan – Lepasan Kelara : Ekspresi Kembara Setengah Dekad

CH dan Pn Besar pergi ke program yang CH warwarkan pada posting sebelum ini, iaitu tanggal 23 Jun 2012 di NZ Wangsa Maju. Kali kedua bersua muka dengan Abang Ramlee Awang Murshid. Kali pertama masa Pesta Buku Antarabangsa di PWTC baru-baru ini.

Program bermula dengan ucapan alu-aluan majlis tertinggi Kelab RAM, diikuti ucapan Abg RAM sendiri. Selepas makan, ada program pecah bendungan (ice-breaking) dan diskusi bersama Abg RAM. Diakhiri dengan sesi autograf dan bergambar.

Kita layan gambar-gambar sekitar majlis.

Sesuai pulak ada banner NZ. Sambil menyelam, minum air…

Pn Besar, isteri Abg RAM, Kak Dayang, dan Abg RAM.

Bergambar beramai-ramai.

CH : Siapa yang belum pernah baca karya Ramlee Awang Murshid, anda patut memulainya. 🙂

Bulan Panitia Sains 2012

Pada 3 April 2012, majlis pelancaran Bulan Panitia Sains berlangsung. Macam biasa, didahulukan dengan ucapan Ketua Panitia Sains.

Diikuti ucapan dan perasmian oleh Puan Guru Besar, Pn Hjh Daunah bt Sitam.

Kelihatan CH sedang menyiapkan radas yang digunakan untuk gimik perasmian. Tapi sayangnya, saat GB merasmikan, kamera kehabisan bateri, dan pada saat pertukaran bateri, sesi tersebut telahpun tamat.

Gimiknya, dua orang saintis muda membawa sesuatu kepada Pn GB untuk diletakkan ke dalam bikar dan silinder penyukat dengan diiringi muzik.

Inilah dua saintisnya.

Inilah benda yang dimasukkannya. Apa itu?

Inilah namanya ais kering. Atau karbon dioksida pepejal.

Inilah jadinya apabila ais kering dimasukkan ke dalam air.

Sebab apa ya?

Ais kering atau karbon dioksida pepejal adalah dalam suhu -75.5 darjah celcius. Suhu air panas/suam, katakan 50 darjah celcius. Perbezaan suhu yang jauh menyebabkan kedua-dua bahan cuba untuk menyeimbangkan suhu, akibatnya karbonb dioksida pepejal bertukar kepada bentuk gas.

Gas yang dibebaskan terperangkap dalam molekul air. Itulah yang kita nampak seperti asap – sebenarnya adalah wap air yang memerangkap gas karbon dioksida yang sedang dibebaskan.

Sebagian murid yang teruja.

Saintis Muda yang mula-mula tadi entah hilang ke mana, maka dapat la dua saintis muda baru untuk bergambar bersama.

Sempena ini juga, diadakan demo Sains ke Kelas Pendidikan Khas dan juga Prasekolah.

 

 

Bila diletakkan sabun pula, buih-buih akan keluar kerana kali ini buih-buih sabun yang memerangkap gas karbon dioksida.

Buih yang diletupkan juga mengeluarkan ‘asap’.

CH : Sains memang menyeronokkan. Juga membuktikan kewujudan Tuhan.

Olahraga MSSD Gombak

CH tak terlibat sebagai guru pengiring, tetapi terlibat sebagai Pegawai Statistik Olahraga. Suatu pengalaman yang baru untuk CH. Mula-mula memang tak menang tangan nak sediakan borang untuk keperluan pihak hakim, pengurus pasukan dan lain-lain. Dah lama sikit, baru cekap dan pantas kerja kami. Rupa-rupanya rakan jawatankuasa juga, ini adalah pengalaman pertama mereka dalam jawatan ini.

MSSD Zon Gombak 2011 berlangsung pada 22-23 Februari 2012 di SMK Sungai Pusu.

Bersungguh-sungguh.

Sempat bermain-main.

Saat menunggu keputusan diumumkan.

Bersama Guru Besar dan wakil sekolah CH.

CH : Lepas ni, boleh la dapat tugas pegawai statistik lagi… 😉

Bola Tampar MSSD Gombak

Cerita dah lama, tapi masih berminat nak dikongsi bersama di sini. Lantaran, menjadi catatan diari CH sendiri dan perkongsian umum dengan pembaca yang lain.

Berlangsung 18 dan 19 Januari yang lalu, bertempat di SJKC Selayang Baru.

Latihan di sekolah.

Pasukan perempuan sekolah.

Pasukan lelaki sekolah.

Walaupun tidak dapat mewakili daerah Gombak, tetapi CH tetap ucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan atas komitmen dan kesungguhan yang telah ditunjukkan dalam latihan dan permainan. Syabas!

CH : Suka tengok pasukan (dalam gambar di atas) bermain… Ada strategi, ada persefahaman, ada kerjasama, semangat…

Hari-hari Terakhir di Sekolah Pertama

Saat blog ini ditulis, CH sudahpun hampir sebulan bertugas di sekolah kedua dalam perkhidmatan CH sebagai guru. Pun begitu, sengaja CH abadikan juga kenangan pada hari-hari terakhir di sekolah pertama bersama rakan guru dan yang paling mengesan dalam hati CH ialah murid-muridnya. Beberapa tahun CH mengajar, murid tahun VI 2011 kali ini yang paling rapat dengan CH.

Antara guru Tahun VI semasa majlis jamuan perpisahan murid Tahun VI 16 November 2011.

Ucapan wakil murid, Adik M. Hanif Saiful Nizam.

Guru Besar dan guru-guru Penolong Kanan.

Pada keesokan hari, 17 November 2011, merupakan majlis penyampaian hadiah kecemerlangan yang mana serentak dengan pengumuman keputusan UPSR.

Pengacara majlis. Sepatutnya CH, tetapi bertukar tugas, kerana serentak hari yang sama, sebagai penyelaras Tahun VI, untuk mengambil slip keputusan peperiksaan.

CH mengumumkan analisis UPSR.

Alhamdulillah, peratus menguasai (lulus semua mata pelajaran) bertambah. Bilangan murid mendapat 5A juga bertambah. Syukur ya ALLAH.

Sebilangan murid yang cemerlang dalam UPSR.

Jamuan guru merangkap jamuan perpisahan CH.

Memotong kek.

Apa agaknya yang menyeronokkan mereka, ya…

Terima kasih atas tanda perhargaan kalian semua.

Terima kasih…

Hari terakhir (18 November 2011) bersama murid-murid Tahun VI…

Kenapa muka CH begitu? Ha ha ha… 🙂

Perut kebahagiaan. He he he…

Bersama rakan-rakan guru di bilik guru.

Terima kasih teman-teman. Terima kasih adik-adikku. Kalian yang terbaik dalam kenanganku pada permulaan khidmatku dalam perguruan. Antara yang mengesan dalam hatiku, cikgu-cikgu yang dah macam kakak sendiri. Antaranya, Kak Umi, Kak Nor, Kak Fidah, Kak Rosliza, Kak Nun, Kak Saba dan lain-lain. Juga Kak Ina (Pn Siti Haslinah) yang teristimewa kerana wajahnya hampir mirip wajah alm. bonda CH. Jelas wajah keibuannya. Juga Pn Guru Besar, Pn Hjh Zulliana, walaupun baru berkhidmat di sekolah ini belum setahun, tetapi kemesraannya bagai sudah lama dikenali. Juga bagaikan abang, Abg Munir, Cikgu Kamal. Ust Harris juga. Nama yang tak tersebut, jangan ambil hati.  

Kepada semua adik CH, semoga sentiasa ingat kepada cikgu kamu serta cikgu-cikgu lain. Terima kasih kepada yang sentiasa berhubung melalui sms, telefon dan facebook. Semoga kita terus akrab sampai bila-bila. CH rindukan kalian.

CH : Rindu sampai termimpi-mimpi!

Melaka Bandar Raya Bersejarah

10 November 2011, jawatan kuasa Tahun VI sekolah CH menganjurkan lawatan ilmiah ke Melaka. Sakit kaki CH kerana memakai kasut kulit bertumit. Jalan-jalan di Melaka menuntut pengunjungnya untuk berjalan kaki ke kebanyakan tempat. Tak pe, tukang urut banyak. Janji, duit disediakan. 🙂

Tempat pertama yang dilawati ialah Zoo Melaka. Jika dengan rombongan sekolah, bayaran masuk ialah RM2.00.

Teruja baru berjumpa dengan sahabat pena, ye?

Bobcat. Kucing En Bob ke? Sangat besar kucing ini. Tak dapat nak ambil gambar si bulu ini dengan jelas.

Bandingkan saiz kucing jenis ini dengan saiz manusia.

Oleh sebab zoo ini amat luas, memang terduduk kepenatan la… Sampai ambil gambar dari jauh je.

Kemudian, kami ke Masjid Al Azim untuk berhenti solat dan makan tengah hari.

Sebenarnya, makan dulu. Iye la, perut kan dah lapar.

Seusai solat, kami bergerak ke Muzium Stadhuys. Muzium bangunan merah ini sangat sesuai dilawati kerana memiliki maklumat berkenaan sejarah Melaka, adat dan budaya serta bermacam-macam lagi.

Inilah empat guru pengiringnya.

Perasan anak panah merah? Ikut sahaja petunjuk arah anak panah tersebut dan kita pasti akan menjelajahi keseluruhan muzium tanpa tertinggal satu seksyen sekali pun.

Muzium ni pun luas juga. Sampai kepenatan kaki dan badan.

Tapi, bergambar memang tak penat.

Keluar dari muzium ini, kami berjalan kaki ke Menara Taming Sari.

Rakyat Malaysia (persendirian) RM10.00. Kalau dengan rombongan, buat surat kepada pihak Menara Taming Sari untuk mendapat diskaun RM7.00 dewasa, RM4.00 murid sekolah.

Turun dari Menara Taming Sari, kami pun berjalan kaki ke A Famosa dan Muzium Istana.

Semuanya sakit kaki. Ke, CH seorang ajer?

Destinasi akhir, membeli terbelah di bazar kraf (betul ke) Banda Hilir.

Inilah momen-momen manis CH bersama anak-anak dan adik-adik sekolah yang sekarang kerana CH akan berpindah mengajar dari daerah Klang ke daerah Gombak. Rasa sayu dan terharu rasa nak menitik air mata apabila melihat kembali gambar-gambar murid CH dan juga rakan-rakan guru. Kenangan di sekolah ini terlalu banyak. Banyak pengalaman dan ilmu ditambah sepanjang bertugas di sini. SK Pulau Indah.

CH : Berharap hubungan berterusan dengan semua rakan guru juga dengan semua murid Tahun 6 2011 dan murid-murid CH yang lain.

Sains UPSR 2011… Sepintas Lalu

Pagi tadi, 8.15 pagi hingga 9.30 pagi, semua murid Tahun 6 yang mendaftar peperiksaan UPSR menduduki kertas Sains kod 018. Di kalangan murid, mungkin ada guru yang memberitahu soalan-soalan yang mungkin keluar dalam Bahagian B. CH juga tak terkecuali, ada juga diberitahu oleh rakan guru yang lain. Namun CH tidak menghebahkannya kepada murid-murid CH. Juga tidak dihebahkan dalam blog CH. Pertama, ditakuti tidak tepat. Kedua, kalau ditakdirkan tepat, CH akan kena bersoal jawab sumber soalan, dikhuatiri soalan bocor. Apa yang CH tahu, banyak topik telah CH dedahkan kepada semua murid CH di dalam kelas. Kalau mereka boleh faham semua latihan, insya ALLAH, apa sahaja bentuk soalan, mereka pasti boleh jawab.

Apa yang pasti, tidak ada soalan baru. Pusing-pusing, soalan tentang tujuan, pemboleh ubah, maklumat dikumpulkan, hubungan, corak, inferens. Yang menjadi cabaran kepada mereka ialah bagaimana untuk mengenal pasti apakah pemboleh ubah dimanipulasikan, apakah pemboleh ubah bergerak balas.

Ada beberapa soalan yang mudah. Contohnya, soalan kulapok roti, pemboleh ubah dimanipulasikan (PDM) yang CH pasti boleh diterima ialah keadaan roti, atau kehadiran air. Ini kerana ada roti dalam keadaan kering, dan ada roti dalam keadaan lembap. Seperti yang CH telah beritahu dalam Tutorial, jika perkara dalam jadual terdiri dari satu perkataan, kita kena lihat gambar (jika ada, atau baca soalan) untuk membentuk dua perkataan atau lebih. Jadual yang diberikan hanya sekadar perkataan roti.

Pemboleh ubah bergerak balas (PGB) pula boleh diambil terus dari jadual, iaitu kehadiran kulapok.

Soalan yang menunjukkan akuarium yang diisi air dan beberapa objek, ini memang agak mengelirukan terutama bagi mereka yang sudah dibiasakan dengan gambar perbandingan, jadual ataupun graf. Gambar yang ditunjukkan tidak ada apa-apa perbandingan yang menunjukkan sebelum eksperimen dan selepas eksperimen. Walau bagaimanapun, aktiviti ini memang ada dalam buku teks Tahun 4 (mungkin juga guru menjadikannya sebagai aktiviti PEKA semasa Tahun 4).

Untuk soalan ini, PDM ialah jenis objek. PGB pula ialah kebolehan objek untuk terapung, atau kebolehan objek untuk tenggelam, atau sifat objek.

Jadi, bagaimana hendak membuat kesimpulan? Biasanya (sehingga tarikh ini, tutorial membuat hubungan/hipotesis/kesimpulan masih belum CH sediakan) guru membimbing murid dengan kaedah

Apabila ……………………….PDM………………………….. bertambah / berkurang,

maka …………………………….PGB……………………………. bertambah / berkurang 

atau

Bertambah / berkurang  ………………………………….PDM…………………………………

bertambah / berkurang …………………………………..PGB…………………………….

Jadi, bagaimana hendak mengatakan kebolehan terapung bertambah atau berkurang? Kesimpulan bagi kes soalan ini, cukup sekadar melihat eksperimen ini dan membuat pernyataan umum. Jawapan CH: Objek-objek plastik dan kayu akan terapung di dalam air.

Berkenaan soalan planet, PDM ialah suhu planet (maaf, CH tak pasti, suhu planet atau suhu persekitaran, hanya mengingat soalan berdasarkan pembacaan sepintas lalu), ,manakala PGB ialah keadaan permukaan planet.

Soalan gear bagi CH adalah bonus kerana terdapat jadual. Semua jawapan boleh didasarkan kepada jadual yang diberikan. Begitu juga dengan soalan berkenaan larian.

Apa-apa pun, CH berdoa dan berharap agar semua murid CH di sekolah dan juga para pembaca blog agar mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sains dan juga UPSR keseluruhannya. Banyakkan berdoa. Yang menanda kertas ialah manusia. Manusia tergantung kepada emosi. Moga-moga emosi yang stabil dan ceria membolehkan penandaan kertas lancar dan tidak terlalu cerewet.

Berdoalah sehingga keputusan peperiksaan diumumkan.